PENGGUNAAN WANG PLASTIK ATAU KAD KREDIT MERUPAKAN FENOMENA YANG POPULAR PADA HARI INI. KAD KREDIT BERTUJUAN MENYENANGKAN CARA PERBELANJAAN DAN HAL INI MEMBAWA PELBAGAI KESAN KEPADA KEHIDUPAN MASYARAKAT. BINCANGKAN.
Kad kredit juga ditakrifkan sebagai wang plastik yang digunakan sebagai pengganti wang tunai. sejak akhir-akhir ini, penggunaan kad kredit didapati semakin popular dalam kalangan masyarakat di negara kita terutamanya ahli perniagaan. Penggunaan kad kredit semakin popular kerana ia mudah memohon. Hal ini kerana seseorang yang berpendapatan RM1800 setahun sudah layak mendaftar untuk mendapatkan kad kredit. Kini terdapat semakin banyak syarikat yang mengeluarkan kad kredit seperti American Express, Visa, dan Master Card. Walaupun kad kredit bertujuan menyenangkan cara perbelanjan tetapi hal ini membawa pelbagai kesan kepada kehidupan masyarakat.
Antara kesan baik penggunaan kad kredit terhadap masyarakat ialah menyenangkan urusan seharian. Hal ini kerana pemegang kad boleh membayar bil elektrik, bil air, bil telefon serta membeli-belah dengan melayan laman web tertentu dengan mudah. Pemegang kad kredit hanya perlu log masuk akaun kad kredit dan membayar bil-bil dengan hanya satu klik. Pemegang kredit yang membeli barang dengan jumlah yang banyak dan pada harga yang tinggi mereka cuma perlu menurunkan tandatangan pada bil barang yang dibeli, mereka tidak perlu risau wang tunai yang dibawa tidak mencukupi untuk membayar bil barangan. Pihak bank pula menarik perhatian ramai pengguna kad kredit dengan bayaran kad kredit boleh dilakukan secara ansuran mengikut kemampuan pemegang kad. Pihak bank juga menyediakan kemudahan pembayaran tol Touch N Go, penambahan nilai kad prabayar bagi telefon bimbit melalui kad kredit.
Seterusnya, kesan baik penggunaan kad kredit ialah keselamatan pemegang kad kredit dapat dijamin. Hal ini demikian kerana pemilik kad kredit tidak perlu terlalu bimbang keselamatan mereka kerana mereka tidak perlu membawa wang tunai yang banyak untuk keluar, maka ia dapat menurunkan risiko pemegang kad kredit ini dirompak atau diragut. Terdapat pemegang kad kredit yang bimbang tentang kesan jika berlakunya kehilangan atau kecurian kad kredit mereka. Sekiranya kad kredit mereka telah hilang atau dicuri, pemegang hanya perlu membuat laporan supaya kad kredit dan butir-butir diri tidak disalahguna oleh pencuri, pembatalan serta-merta akan dibuat jika terdapat sebarang bentuk transaksi daripada kad kredit yang dicuri atau hilang. Kad kredit juga selamat untuk digunakan kerana kad kredit tidak boleh dipindah milik berbanding wang tunai dan sebarang urusan pembelian akan memerlukan tandatangan pemilik kad sebagai pengesahan.
Penggunaan kad kredit telah memberi banyak faedah kepada masyarakat tetapi ia juga memberi kesan buruk kepada masyarakat. Antara kesan buruk penggunaan kad kredit ialah penggunaan kad kredit menyebabkan masyarakat mengamalkan sikap berbelanja dengan boros. Hal ini kerana pemegang kad kredit boleh membeli barang tanpa menggunakan wang tunai. Hal ini menyebabkan pemegang kad kredit membeli barang tanpa had dan tidak melihat harga sebelum membeli barang. Sebagai contoh, pemegang kad kredit tidak mempedulikan harga apabila mereka membeli barangan yang berharga tinggi seperti komputer, telefon bimbit dan barang mewah . Hal ini akan menyebabkan mereka membeli barang yang tidak diperlukan dan menjadi pembaziran kerana penggunaan kad kredit telah menyebabkan mereka tidak dapat berbelanja dengan jimat cermat.
Selain itu, kesan buruk penggunaan kad kredit ialah menyebabkan pemegang kad kredit berhutang sekeliling pinggang. Sikap boros pemegang kad kredit menyebabkan mereka tidak tahu berbelanja dengan jimat cermat. Apabila bil kad kredit diterima pada akhir bulan terdapat pemegang kad kredit yang tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menyelesaikan hutang bank. Hal ini demikian apabila pemegang kad kredit tidak dapat menyelesaikan hutang maka pihak bank akan mengeluarkan notis amaran kepada pemegang kad kredit untuk menyelesaikan hutang dalam tempoh masa yang diberikan. Langkah yang seterusnya yang akan diambil alih oleh pihak bank ialah menggadaikan harta benda pemegang kad kredit yang telah berhutang lama dengan pihak bank jika harta benda pemegang kad kredit tersebut tidak mencukupi untuk menyelesaikan hutangnya. Maka dia akan diisytiharkan bankrap oleh pihak bank. Terdapat juga pemegang kad kredit yang meminjam wang daripada syarikat pinjaman wang yang haram untuk menyelesaikan hutang kad kredit dengan bank. Kebanyakkan mereka menyelesaikan hutang kad kredit tidak mampu menjelaskan hutang yang disimpan daripada syarikat pinjaman wang yang haram. Hal ini demikian akan menyebabkan pihak syarikat pinjaman wang haram ini mengganggu penghutang dan ahli keluarganya serta melakukan perkara yang akan mengugut nyawa mereka seperti mencederakan penghutang dan memaksa penghutang untuk menyelesaikan hutangnya.
Di samping itu, penipuan kad kredit juga mudah berlaku. Pengguna kad kredit yang menyelesaikan urusan seperti pembayaran bil secara atas talian menggunakan komputer mudah berlakunya penyelewengan. Penggunaan kad kredit ketika pengguna menggunakan mesin juruwang automatik juga akan menyebabkan maklumat sulit pengguna kad kredit terdedah. Hal ini akan meningkatkan risiko keselamatan pengguna kad kredit tersebut tergugat. Pada zaman globalisasi ini, kad kredit juga boleh diklonkan dan digunakan oleh orang lain tetapi segala kesan buruk dan kos akan ditanggung oleh pemilik kad kredit yang tidak mengetahui bahawa kad kreditnya telah diklonkan, pemegang kad kredit akan menghadapi proses mahkamah yang merumitkan.